Saturday 29 October 2016

5 TIP MUDAH AJAR ANAK BERDIKARI




Image result for gambar anak kecil berdikari

Ada anak kecil yang sangat berdikari. Tentuu kita terfikir, macam mana cara didikan ibu bapa mereka sehinggakan anak yang baru berusia tiga tahun sudah pandai berdikari seperti mengemas alat permainan yang selesai dimain, mengelap air yang tumpah di lantai, membasuh cawan yang digunakan dan sebagainya lagi.
Sebenarnya semua ibu bapa boleh mendidik anak menjadi individu yang berdikari asalkan ada kemahuan untuk mendisiplinkan mereka. Mungkin anda boleh cuba cara berikut.
1. Jaga kesihatan anak
Anak yang sihat mampu untuk mengikut bimbingan dan didikan ibu ayah. Jadi ibu ayah perlu menyediakan segala keperluan khasiat anak untuk membesar sihat dan cergas. Apabila anak sihat, mudahlah mereka belajar berdikari dengan bimbingan daripada ibu dan ayah.
2. Ajar anak berkeyakinan
Anak yang dibesarkan dengan persekitaran positif akan membesar sebagai kanak-kanak yang berkeyakinan tinggi. Sejak kecil galakkan anak membantu membuat kerja rumah. Biarpun pada awalnya tidak sempurna, berikan mereka pujian dan galakan.
Tugas-tugas mudah seperti mengemas katil, bilik, menyapu sampah dan sebagainya mampu meningkatkan keyakinan diri mereka seterusnya anak menjadi lebih berdikari.
3. Mudah bergaul
Salah satu ciri anak berdikari adalah kemampuannya  mudah bergaul dengan  kawan-kawan sebaya. Ia menunjukkan mereka mampu untuk berdikari  mencari kawan baru tanpa perlu ‘melekat’ dengan ibu ayah jika berada di tempat baru.
4. Kreatif
Anak kreatif bukan sekadar hebat melukis, mewarna dan menulis tetapi lebih luas daripada itu di mana dia mampu menyelesaikan sendiri masalah yang dihadapi tanpa bantuan orang lain.
Ia bukan sifat semula jadi sejak lahir tetapi boleh dipupuk dan diajar sendiri oleh ibu dan ayah bagaimana menjadi anak yang kreatif dan mampu berfikir cara menyelesaikan masalah yang dihadapi.
5. Berikan kebebasan
Kadangkala ibu dan ayah perlu memberi kebebasan kepada anak yang sedang membesar. Kebebasan bukan bermakna mencetuskan hura hara atau membiarkan anak tanpa pemantauan tetapi dalam bab membuat keputusan yang mudah.
Misalnya seperti memilih pakaian yang hendak dipakai, membuat pilihan menu makanan di restoran, membiarkan anak menguruskan keperluan dirinya. Secara tidak langsung ia menjadi salah satu cara mudah menggalakkan anak untuk lebih bertanggungjawab.
Biasanya anak yang berdikari mudah untuk mendapat kawan walaupun dia berada di tempat baru dan mereka akan membesar sebagai seorang yang berani cuba sesuatu yang baru serta tinggi keyakinan diri.
Sumber : Majalah Pa & Ma

Wednesday 26 October 2016

6 CARA TERBAIK BILA BERHADAPAN DENGAN SI KECIL YANG KEDEKUT





kedekut


Sikap kedekut bukan hanya milik orang dewasa, adakalanya si kecil juga sudah pandai bersikap kedekut. Terutama pada barang kesayangan dan kegemarannya.
Macam mana dia boleh kedekut ya? Rasanya ibu dan ayah tak pernah ajar. Jadi, apakah cara terbaik bila anak mula bersikap kedekut?
Adakah perlu terus dimarah? Atau biarkan sahaja dengan harapan dia akan berubah sikap apabila semakin membesar kelak?

Si manja pada usia tiga hingga empat tahun sedang dalam fasa belajar untuk berkongsi dan memahami makna beratur serta mengambil giliran. Ibu dan ayah perlu memainkan peranan untuk menerapkan dalam diri si manja dan sedikit demi sedikit mengikis sifat mementingkan diri ini.

Antara tip yang boleh diberikan kepada si manja untuk menyuburkan sikap berkongsi dalam dirinya ialah:

1. Berkongsi itu menyeronokkan

Ajar si manja untuk bekerjasama menerusi permainan. Misalnya membina blok secara berpasukan dan yang paling tinggi akan menang. Tentunya si manja akan bermain dan saling memberi dan menerima serta bekerjasama dengan mudah. Masukkan juga elemen giliran untuk mengambil blok dalam peraturan permainan. 

2. Biar dia berkongsi dengan anda

Biarkan dia berkongsi sesuatu dengan anda. Misalnya berkongsi tugas untuk menyiram pokok, membiarkan dia membantu anda mengemas barang-barang setelah pulang dari membeli belah bersama. 
Selain itu, anda boleh memberikan sesuatu untuk dia kongsi bersama kawannya seperti snek atau pelekat kartun yang boleh dikongsi dengan rakan-rakannya di pusat asuhan.

3. Jangan denda

Jangan menggunakan kaedah denda dalam menyelesaikan masalah ini. Denda dan mengatakan dia kedekut tidak akan mencetuskan sifat memberi dalam diri si manja.
Malah ia boleh menyebabkan tekanan emosi padanya. Anda perlu faham pada usia ini si manja sedang mempelajari konsep berkongsi. Berikan dia masa untuk memahami dan cuba berkongsi dengan orang sekeliling seiring pertambahan usia dan  kematangan dirinya.

4. Nasihat

Cara paling mudah ialah dengan memberikan nasihat kepadanya dan memberitahu kelakuan yang tamak dan enggan berkongsi itu tidak manis. Selalu bercerita tentang orang yang tamak selalu rugi dan keburukan jika tidak berkongsi barang dengan orang lain.
Allah SWT juga suka kepada orang yang pemurah dan suka berkongsi dengan orang lain. Dengan cara ini dia akan cuba mengubah dirinya dengan sendiri tanpa rasa seksa dan terpaksa.

5. Ajar dia memahami

Kanak-kanak dan permainan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kerap kali masalah enggan berkongsi mainan menjadi punca kepada pergaduhan. Justeru, ajar si manja untuk tidak berebut dan mengambil giliran.
Didiknya untuk bertolak ansur dan memahami perasaan orang di sekelilingnya. Misalnya katakan “Amir suka sangat dengan robot adik. Bagilah dia main sekejap. Nanti dia nak balik, dia akan pulangkan semula robot Adik ok. Bolehlah adik main puas-puas dengan robot tu nanti.”
Berikan peluang untuk si manja memberikan pendapat dan meluahkan perasaannya mengenai hal tersebut.

6. Hormati barangan miliknya

Mulai sekarang, ibu dan ayah perlu hormati barangan milik anak dan jangan ambil mudah. Mungkin kerana anda sering menyimpan barangnya di tempat salah, menyebabkan ia rosak atau memberikannya kepada orang lain tanpa memberitahunya terlebih dahulu.
Hal ini menyebabkan si manja rasa terancam dan bertindak untuk tidak berkongsi dengan orang lain.

7. Jadi contoh

Jadikan diri anda berdua sebagai contoh yang baik kepada si manja berkaitan hal ini. Praktis untuk berkongsi apa sahaja dengan dia atau ahli keluarga yang lain.
Gunakan istilah kongsi dalam mendefinisikan perbuatan tersebut dan biar dia menyaksikannya. Biarkan dia melihat anda sedang bertolak ansur dengan pasangan anda, berkompromi tentang sesuatu hal dan berkongsi sesuatu.

Anak belajar perkara baru setiap hari. Tunjukkan cara terbaik tentang sikap tidak kedekut kepada si manja. Ia juga boleh menjadi pelajaran berkesan kepada dirinya.
Sumber : Majalah Pa & Ma
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Blog design by Fatin Hazwani. Copyright Normala Jaip.